Selasa, 24 Februari 2026

CAMAR PUTIH 3: Ramadhan Hadir Untuk Pergi Lagi

Refleksi@Muhasabah Binafsih

Jika Ini Ramadan Terakhirku, Adakah Aku Bersedia?

​Menghampiri Ramadan pada usia kita sekarang terasa berbeza.

Sewaktu di usia 20-an atau 30-an, Ramadan sering ditakrifkan oleh suasananya:

Apa menu untuk iftar nanti?

Apa warna baju raya tahun ini?

Berapa balang biskut di atas meja?

Segalanya terasa ringan. Hidup seolah-olah akan berpanjangan selamanya.

​Tetapi sekarang?

Ramadan terasa lebih sunyi.

Lebih serius.

Lebih menggetarkan jiwa.

Usia ini bukan sekadar angka; ia adalah "penggera" lembut daripada Allah.

​Bukan bertujuan untuk menakutkan, tetapi untuk mengejutkan kita.

Untuk mengingatkan bahawa baki waktu yang ada lebih singkat daripada waktu yang telah berlalu.

Kita mula melihat rakan sebaya jatuh sakit.

Ada yang pergi secara tiba-tiba.

Mereka yang dahulunya kita ajak bergurau, kini hanyalah nama di dalam doa kita.

Dan secara senyap, hati bertanya:

"Bila pula giliran aku?"

​Ramadan hadir dengan persoalan yang lebih mendalam:

Jika ini Ramadan terakhirku, adakah aku bersedia?

​Peralihan Perspektif

​Pada usia ini, tubuh fizikal tidak lagi sama.

Berpuasa memerlukan lebih penjagaan.

Gastrik mula memprotes.

Lutut sering berbunyi sebelum sempat kita berdiri untuk Tarawih.

Namun, ada keindahan di sebalik kerapuhan itu.

Kita sedar jasad ini tidak akan selamanya kuat, dan kita terpaksa lebih bersandar kepada Allah.

​Ramadan pada usia kita bukan lagi tentang kelihatan "warak".

Bukan tentang mengemas kini ibadah kita kepada orang lain.

Bukan perlumbaan untuk melihat siapa yang paling cepat khatam Al-Quran.

Ia adalah tentang hubungan peribadi.

Tentang sekeping hati yang mencari penyucian sebelum ia benar-benar kembali ke "Rumah".

​Menghadapi Kebenaran

​Kerana sejujurnya… dosa-dosa di masa muda kita bukan sedikit.

Ego yang tinggi di masa lalu,

Kata-kata yang melukakan hati orang lain,

Waktu yang terbuang untuk perkara sia-sia,

Solat yang sering kita lalaikan,

Ibu bapa yang pernah kita kecewakan.

​Ramadan datang seperti peluang kedua.

Seolah-olah Allah membisikkan, "Masih ada waktu. Perbaikilah."

Pada usia ini juga, kita sedar: Anak-anak sedang memerhati.

Cara kita menyambut Ramadan adalah apa yang akan mereka contohi.

Jika mereka hanya melihat dapur dan hiasan, itulah yang akan mereka anggap penting.

Tetapi jika mereka melihat ibu mereka bangun awal untuk Tahajjud,

Atau ayah mereka menjadi lebih lembut ketika berpuasa,

Mereka belajar makna iman yang sebenar.

​Latihan Untuk Kepulangan Terakhir

​Ramadan bukan sekadar ritual tahunan. Ia adalah "latihan untuk pulang".

Latihan menahan diri,

Latihan merendahkan ego,

Latihan melepaskan dunia, sedikit demi sedikit.

Usia menjadikan kita lebih jujur dengan diri sendiri.

Kita tahu apa yang benar-benar bermakna dan apa yang sekadar perhiasan.

Kita tahu apa yang akan dibawa ke liang lahad, dan apa yang hanya akan ditinggalkan di dalam almari.

Kerana hakikatnya mudah:

Hanya amalan yang mengikut kita ke kubur.

Bukan pengikut (followers),

Bukan keuntungan perniagaan,

Bukan pujian manusia.

​Menyiapkan Hati

​Jadi, semasa kita menghampiri Ramadan kali ini, mungkin bukan sekadar kurma dan sirap yang perlu kita sediakan, tetapi hati kita.

Sudahkah kita meminta ampun daripada ibu bapa?

Sudahkah kita berdamai dengan pasangan?

Sudahkah kita melepaskan dendam yang kita simpan secara rahsia?

​Ramadan pada usia kita adalah tentang keberanian.

Keberanian untuk berubah.

Keberanian untuk mengaku kesilapan.

Keberanian untuk memperbaiki.

Kita mungkin tidak dapat menghidupkan kembali masa muda, tetapi kita masih boleh menjamin masa depan kita di Akhirat.

​Satu Amanah Terakhir

​Kita harus sedar: tidak semua orang diberi peluang untuk mencapai usia ini.

Jika Allah telah memberi kita lebih tahun, ia bukan satu kebetulan. Ia adalah satu Amanah.


​Jadi, jangan lalui Ramadan ini seperti tahun-tahun yang lain.

Tingkatkan tahapnya.

Dalamkan sujudnya.

Lembutkan bicaranya.

Perbanyakkan Istighfar.

Mungkin satu Ramadan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan pada usia ini menjadi titik tolak kepada destinasi abadi kita.

Jangan tunggu sihat yang sempurna.

Jangan tunggu masalah selesai.

Jangan tunggu sehingga anda "terasa lebih sedia".

Kerana masa tidak menunggu.

Ramadan sudah di pintu.

​Hanya satu soalan yang tinggal:

"Adakah kita akan memasukinya sebagai orang yang sama seperti tahun lepas, atau sebagai versi diri kita yang lebih bersedia untuk pulang?"

​Jika hati anda tersentuh, mulakan hari ini dengan satu perubahan nyata.

Hanya satu buat masa ini—tetapi biarlah konsisten.

Kerana mungkin...

Ini bukan Ramadan yang biasa.

Jumaat, 18 Januari 2019

CAMAR PUTIH 2: berasakan orang menyukai ucapan kita

Assalamu'alaikum kepada saudara se-Islam,
Selamat sejahtera kepada yang belum Islam.

Awwalan, saya pohon berbanyak kemaafan kerana berasakan sudah terlalu lama tidak mempertemu jari-jemari ini pada dentuman papan kekunci untuk berbicara di pintu CAMAR PUTIH ini.

Kali ini, saya ingin menyentak naluri dan perasaan semua penatap dan pencinta blog pasal hal-ehwal ucapan. Secara lingual, kata "ucapan" sudah pasti berkaitrapat dengan alat-alat artikulasi seperti rongga mulut dan lidah temasuklah organ lain iaitu hati dan kotak fikir. Juga, apabila membicarakan tentang "ucapan", maka terbayanglah suatu keadaan pihak pertama sedang berdiri sambil mengatur dan menggabungkan kepetahan alat-alat artikulasi tadi, khususnya bahagian rongga hidung, mulut dan kelenturan lidah secara serentak untuk melontarkan buah fikiran dengan matlamat tertentu dan dihadapkan pula kepada pihak kedua disebut khalayak sasar iaitu si pendengar, sama ada dalam keadaan duduk ataupun berdiri (yang belum tentu berjanji-setia pada diri masing-masing untuk mendengar).

Mudah sahaja, contohkan di sini, ucapan yang terbit daripada seorang yang berstatus ketua. Tidak kisahlah ketua apa sekalipun. Sebagai ketua, sudah tentu buah fikiran dan buah ucapan yang dihidangkan, pastilah seiring dengan matlamat (boleh jadi matlamat peribadi mahupun matlamat organisasi) akan dicuba sedaya-upaya disembur-masuk ke dalam lubang telinga orang-orang yang dihadapkan ucapan itu, tanpa menghitung sama ada ucapannya diakur-terima ataupun sebaliknya ditolak-kelu dan dijelirkan lidah-batin oleh si pendengar yang penat berdiri itu.

Akan tetapi, ada satu benda yang harus ditimbang-wajar oleh orang yang memberi ucapan. Terfikirkah di peti benak rasionalnya, apakah sama ada lambat mahupun derasnya sesuatu ucapan itu dapat diterima-puas ataupun sebaliknya oleh si pendengar? Nah, di sinilah keunikan seni ucapan, imunisasi jiwa-batin dan kewibawaan si pemberi ucapan teruji sepenuhnya. Terbukti, bukan mudah menilai sesebuah ucapan yang benar-benar bernilai.

Kebanyakan orang yang memberi ucapan itu yakin bahawa buah ucapannya sedang dan terus dinikmati oleh para pendengar. Hakikatnya, rata-rata si pendengar banyak yang "berpaling-tadah" malah berhipokrit dan terus membiarkan lubang telinga masing-masing tegak terpasang dalam keadaan "disumbat-rapat-dengaran-batin"nya. Kebanyakan si pemberi ucapan berasakan khalayak sangat menghargai isi hatinya yang diluahkan menerusi lidah tidak bertulang, berjela-jela dan penuh dengan hasrat-kelabunya itu. Dia menyangka ucapan panjang dengan mencuri masa yang terlalu lama itu sebagai bernilai untuk khalayak pendengar. Padahal, benda yang menjadi mauduk ucapan itu sebenarnya masih merupakan benda lama yang berdiam-sepi di dalam kotak usang. Ternyata, lebih separuh ucapan adalah sarat dengan ide "hok sokmo-sokmo" dan "ketulaan".

Lantaran itulah apabila perhalusi, setiap kali berlaku perjumpaan atas apa-apa nama sekalipun, yang padanya ada ucapan seperti mesyuarat, taklimat, perhimpunan berkala, dan seumpamanya, sama ada rasmi mahupun separa-rasmi, sudah tentu pihak majlis akan dikakukan (bukan diserikan) oleh sekurang-kurang seorang pengerusi majlis yang akan menyajikan kata-kata yang sudah dipelankan. Kononnya demi melancarkan perjalanan majlis. Lagi panjanglah "jeliran-lidah-batin" para pendengar yang masih berdiri di situ. Penat, rimas, pedih, dan membosankan.

Wal-akhiran, maka itu, semak dan hisablah pelan ucapan masing-masing yang telah disusun-atur sebelum bertebaran di atmosfera dan menerjah ke lubang telinga khalayak pendengar sasar.


 ...jangan MARAH.

Rabu, 30 Mei 2018

CAMAR PUTIH 1: kealpaan adalah kunci petaka

Assalamu'alaikum kepada saudara se-Islam,
Selamat sejahtera kepada yang belum Islam.

Sengaja saya pilih mauduk "kealpaan adalah kunci petaka" sebagai kalam bicara pertama di jendela CAMAR PUTIH ini.
     Kealpaan, satu perkataan mudah berakar pada kata "alpa", juga disebut "cuai" dan seumpamanya. Tetapi keadaan "lupa" atau "terlupa" adalah manifestasi yang terbit daripada kealpaan. Dalam kotak pemikiran stereotaip, sering beranggapan semua perkataan ini bersifat sekeluarga dan diam di rumah kata alpa membawa makna dan semangat hidup yang serupa walaupun tidak sama. Manakala kata "ingat" adalah keadaan dan semangat yang bertentangan dengan alpa.
     Rumusnya, mungkin tidak ekstrim jika saya ungkapkan bahawa persoalan alpa, lupa, dan ingat adalah hal yang berkait dengan akal dalam fasa-fasa tertentu di fakulti kejiwaan.
     Timbul kealpaan atas setiap perkara yang berkaitan dengan apa-apa yang telah diketahui, dihafal, dan diingati otak manusia yang sihat kecuali yang dijangkiti virus kealpaan. Satu situasi: Apabila seseorang diajukan soalan, "Encik A, berapakah jumlah anak tangga yang dibina untuk menaiki Bukit Pak Apil yang menempatkan bangunan RTM Kuala Terengganu?"  Tidak timbul soal lupa dalam diri Encik A sekiranya dia tidak tahu malah tidak pernah sampai di Bukit Pak Apil kecuali sebaliknya. Ertinya fasa kealpaan hanya hadir atas hal-hal yang pernah kita tahu dan ingat sahaja. Itu sekadar contoh.
     Dari mana datang alpa dan kealpaan? Ya, sesetengah orang berpendapat alpa lahir daripada amalan, fe'el perangai, dan tindakan manusia itu sendiri. Mungkin ada kebenaran apabila kita melihat dari jurus pandang unsur atau sifat kekurangan manusia itu sendiri. Jadi, tidak salah dikatakan alpa adalah impak daripada tiada tumpuan, tiada latihan berterusan, dan pelbagai gangguan. Tiga keadaan inilah yang menjadi indikator asas yang membawa kepada alpa.  Oleh hal demikian sejarah adalah guru dan pemandu dalam perjalanan sesebuah bangsa dan negara. Sekadar contoh, banyak orang tahu kealpaan tok-tok ketua zaman Kesultanan Melayu Melaka telah dicuri kesempatan si Mendaliar dan si Kitul untuk membunuh sebutir kedaulatan bangsa Melayu-Tanah Melayu ketika itu. Tanpa menafikan fe'el perangai tok-tok ketua yang keras kepala, mementingkan diri, dan bermacam-macam lagi gelaran yang boleh disebut, hakikatnya mereka tidak belajar daripada sejarah. Inilah realitinya. Kini, kedua-dua watak di atas menjadi simbol pemfitnah dan simbol pelacur kesetiaan nombor wahid dalam tamadun bangsa Melayu-Tanah Melayu. Dan dalam masalah interaksi antara tok-tok ketua dengan pengikut-pengikut, para tok ketua tidak boleh beranggapan bahawa kesetiaan para pengikut tetap berkekalan hingga sudahnya. Unsur "berpaling" tetap berlaku dalam hubungan antara keduanya disebabkan kesetiaan yang dimaksudkan adalah nisbi. Unsur ini tidak relevan bagi maksud kehambaan dan ubudiyyah dalam konteks fakulti ketuhanan Ilahi. Hal ini demikian kerana berpaling dalam konteks ini akan membawa maksud ingkar iaitu petaka-binasa kepada iman seseorang hamba. Hakikat ini telah dibuktikan oleh iblis maha laknatan.
     Balik kepada persoalan perjalanan kita mendirikan sebuah daulah dan tamadun, hasilnya bukanlah dapat dituai-bukti dalam tempoh yang singkat. Tambah, apabila para tok ketua yang semakin meniti usia diterjah pula oleh jiwa prasangka dan alpa. Ironinya, orang suka menempatkan angka 40 tahun sebagai permulaan dan setelah melangkau 60 tahun ditilik sebagai usia emas. Maka period keemasan dan keagungan akan diuji apabila berada di takah 60. Jika apabila sesuatu perkara yang diam di takah itu gagal bertahan dan dipertahankan, ertinya sesuatu perkara itu tidak unggul. Dan hakikat kegagalan mencipta keunggulan berpunca daripada kealpaan. Demikian itu, terbukalah pintu segala petaka.

...jangan MARAH.

Isnin, 28 Mei 2018

MENGENALI CAMAR PUTIH: hormati prinsip pancabeza dan ketaksamaan

Assalamu'alaikum kepada saudara se-Islam,
Selamat sejahtera kepada yang belum Islam.

INSAN ialah makhluk sosial: senantiasa mendefinisi diri sendiri yang dihimpit oleh jalur kehidupan dalam mengkonsepsikan alam ini. Sebenarnya, tanggapan tentang alam telah mendorong insan menjadi lebih peka, sensitif, dan responsif terhadap persekitaran yang terhidang di atas satu zat paksi, paling simbolik dan paling bermakna. Dalam setiap detik, perspepsi yang dijejaki sudah tentu sarat dengan prinsip ketaksamaan. Prinsip inilah yang menzahirkan perbezaan lisaniah, jurus pandangan dan pemikiran, sama ada di titian adat mahupun di titian syariat.
     Pada satu sisi yang lain, pandangan hidup merupakan umbi dan teras paling kukuh dalam mencipta sesebuah tamadun, sama ada tamadun itu dipacak teguh atau sebaliknya goyah dan rapuh. Setiap insan sudah pasti menuntut tamadun paling luhur dan paling suci untuk dinilai-terima bak seekor CAMAR PUTIH yang belum disentuh.

Selamat melayani blog CAMAR PUTIH.

Hormat daripada;
ABD AZIZ KUALA NERUS
(formerly known as ABD AZIZ PURBA)
...belajar adalah ratib yang tidak berpenghujung.

CAMAR PUTIH 3: Ramadhan Hadir Untuk Pergi Lagi

Refleksi@Muhasabah Binafsih Jika Ini Ramadan Terakhirku, Adakah Aku Bersedia? ​Menghampiri Ramadan pada usia kita sekarang terasa berbeza. S...