Rabu, 30 Mei 2018

CAMAR PUTIH 1: kealpaan adalah kunci petaka

Assalamu'alaikum kepada saudara se-Islam,
Selamat sejahtera kepada yang belum Islam.

Sengaja saya pilih mauduk "kealpaan adalah kunci petaka" sebagai kalam bicara pertama di jendela CAMAR PUTIH ini.
     Kealpaan, satu perkataan mudah berakar pada kata "alpa", juga disebut "cuai" dan seumpamanya. Tetapi keadaan "lupa" atau "terlupa" adalah manifestasi yang terbit daripada kealpaan. Dalam kotak pemikiran stereotaip, sering beranggapan semua perkataan ini bersifat sekeluarga dan diam di rumah kata alpa membawa makna dan semangat hidup yang serupa walaupun tidak sama. Manakala kata "ingat" adalah keadaan dan semangat yang bertentangan dengan alpa.
     Rumusnya, mungkin tidak ekstrim jika saya ungkapkan bahawa persoalan alpa, lupa, dan ingat adalah hal yang berkait dengan akal dalam fasa-fasa tertentu di fakulti kejiwaan.
     Timbul kealpaan atas setiap perkara yang berkaitan dengan apa-apa yang telah diketahui, dihafal, dan diingati otak manusia yang sihat kecuali yang dijangkiti virus kealpaan. Satu situasi: Apabila seseorang diajukan soalan, "Encik A, berapakah jumlah anak tangga yang dibina untuk menaiki Bukit Pak Apil yang menempatkan bangunan RTM Kuala Terengganu?"  Tidak timbul soal lupa dalam diri Encik A sekiranya dia tidak tahu malah tidak pernah sampai di Bukit Pak Apil kecuali sebaliknya. Ertinya fasa kealpaan hanya hadir atas hal-hal yang pernah kita tahu dan ingat sahaja. Itu sekadar contoh.
     Dari mana datang alpa dan kealpaan? Ya, sesetengah orang berpendapat alpa lahir daripada amalan, fe'el perangai, dan tindakan manusia itu sendiri. Mungkin ada kebenaran apabila kita melihat dari jurus pandang unsur atau sifat kekurangan manusia itu sendiri. Jadi, tidak salah dikatakan alpa adalah impak daripada tiada tumpuan, tiada latihan berterusan, dan pelbagai gangguan. Tiga keadaan inilah yang menjadi indikator asas yang membawa kepada alpa.  Oleh hal demikian sejarah adalah guru dan pemandu dalam perjalanan sesebuah bangsa dan negara. Sekadar contoh, banyak orang tahu kealpaan tok-tok ketua zaman Kesultanan Melayu Melaka telah dicuri kesempatan si Mendaliar dan si Kitul untuk membunuh sebutir kedaulatan bangsa Melayu-Tanah Melayu ketika itu. Tanpa menafikan fe'el perangai tok-tok ketua yang keras kepala, mementingkan diri, dan bermacam-macam lagi gelaran yang boleh disebut, hakikatnya mereka tidak belajar daripada sejarah. Inilah realitinya. Kini, kedua-dua watak di atas menjadi simbol pemfitnah dan simbol pelacur kesetiaan nombor wahid dalam tamadun bangsa Melayu-Tanah Melayu. Dan dalam masalah interaksi antara tok-tok ketua dengan pengikut-pengikut, para tok ketua tidak boleh beranggapan bahawa kesetiaan para pengikut tetap berkekalan hingga sudahnya. Unsur "berpaling" tetap berlaku dalam hubungan antara keduanya disebabkan kesetiaan yang dimaksudkan adalah nisbi. Unsur ini tidak relevan bagi maksud kehambaan dan ubudiyyah dalam konteks fakulti ketuhanan Ilahi. Hal ini demikian kerana berpaling dalam konteks ini akan membawa maksud ingkar iaitu petaka-binasa kepada iman seseorang hamba. Hakikat ini telah dibuktikan oleh iblis maha laknatan.
     Balik kepada persoalan perjalanan kita mendirikan sebuah daulah dan tamadun, hasilnya bukanlah dapat dituai-bukti dalam tempoh yang singkat. Tambah, apabila para tok ketua yang semakin meniti usia diterjah pula oleh jiwa prasangka dan alpa. Ironinya, orang suka menempatkan angka 40 tahun sebagai permulaan dan setelah melangkau 60 tahun ditilik sebagai usia emas. Maka period keemasan dan keagungan akan diuji apabila berada di takah 60. Jika apabila sesuatu perkara yang diam di takah itu gagal bertahan dan dipertahankan, ertinya sesuatu perkara itu tidak unggul. Dan hakikat kegagalan mencipta keunggulan berpunca daripada kealpaan. Demikian itu, terbukalah pintu segala petaka.

...jangan MARAH.

Isnin, 28 Mei 2018

MENGENALI CAMAR PUTIH: hormati prinsip pancabeza dan ketaksamaan

Assalamu'alaikum kepada saudara se-Islam,
Selamat sejahtera kepada yang belum Islam.

INSAN ialah makhluk sosial: senantiasa mendefinisi diri sendiri yang dihimpit oleh jalur kehidupan dalam mengkonsepsikan alam ini. Sebenarnya, tanggapan tentang alam telah mendorong insan menjadi lebih peka, sensitif, dan responsif terhadap persekitaran yang terhidang di atas satu zat paksi, paling simbolik dan paling bermakna. Dalam setiap detik, perspepsi yang dijejaki sudah tentu sarat dengan prinsip ketaksamaan. Prinsip inilah yang menzahirkan perbezaan lisaniah, jurus pandangan dan pemikiran, sama ada di titian adat mahupun di titian syariat.
     Pada satu sisi yang lain, pandangan hidup merupakan umbi dan teras paling kukuh dalam mencipta sesebuah tamadun, sama ada tamadun itu dipacak teguh atau sebaliknya goyah dan rapuh. Setiap insan sudah pasti menuntut tamadun paling luhur dan paling suci untuk dinilai-terima bak seekor CAMAR PUTIH yang belum disentuh.

Selamat melayani blog CAMAR PUTIH.

Hormat daripada;
ABD AZIZ KUALA NERUS
(formerly known as ABD AZIZ PURBA)
...belajar adalah ratib yang tidak berpenghujung.

CAMAR PUTIH 3: Ramadhan Hadir Untuk Pergi Lagi

Refleksi@Muhasabah Binafsih Jika Ini Ramadan Terakhirku, Adakah Aku Bersedia? ​Menghampiri Ramadan pada usia kita sekarang terasa berbeza. S...